January 12, 2015

BAB 2 : TERCIPTANYA DIA UNTUKKU


LEKA  Zen  Fahreen  memandang  jauh  ke  halaman  yang  luas  di  hadapannya  itu. Suasana  yang  nyaman  dan  sapaan  angin  yang  bertiup  lembut  ke  wajahnya  sedikit  memberi  ketenangan. Sememangnya  suasana  yang  damai  seperti  di  kampungnya  ini  adakalanya  membuatkan  dia  malas  untuk  kembali  ke  kota.
Melihat  halaman  yang  luas  itu, fikirannya  terkenang  pula  pada  zaman  kanak-kanaknya. Zaman  yang  menyimpan  seribu  kenangan  suka  dan  dukanya. Di  halaman  itulah  abahnya  pernah  membelah  sebiji  bola  gara-gara  dia  dan  tiga  lagi  abangnya  leka  bermain  tanpa  menghiraukan  waktu  Maghrib  hampir  menjengah  ketika  itu.
Suara  emaknya, Hajjah  Khadijah  yang  memanggil  pulang  ketika  itu  tidak  diendah  sama  sekali. Sebaliknya  dia  dan  abang-abangnya  semakin  leka  bermain. Jenuh  memanggil  dan  membebel, emaknya  masuk  semula  ke  rumah. Namun, selang  beberapa  minit  kemudian  keluar  pula  abahnya, Haji  Mazlan. Siap  membawa  sebilah  parang  bersama. Habislah!
“Dah  nak  Maghrib  ni  tak  reti-reti  nak  balik  mandi? Apa  nak  jadi  dengan  kamu  semua  ni, hah?”
Marah  betul  Haji  Mazlan  ketika  itu. Sikap  tidak  peduli  anak-anaknya  membuatnya  angin  satu  badan. Anak-anak  jiran  tumpang  sekaki  bermain  terus  bertempiaran  lari  dan  balik  ke  rumah  masing-masing. Masing-masing  kecut  perut  mendengar  suara  persis  tarzan  itu. Seriau  pun  ada  bila  melihat  guru  besar  tersebut  membawa  sebilah  parang. Baik  cabut  cepat. Kang  ada  jugak  yang  kena  penangan  parang  tu  karang!
Spontan  Zen  Fahreen  dan  abang-abangnya  berhenti  bermain  tatkala  mendengar  suara  serius  Haji  Mazlan. Masing-masing  hanya  membatukan  diri. Dalam  masa  yang  sama, masing-masing  seram  melihat  sebilah  parang  di  tangan  kasar  itu. Dasyat  pulak  abahnya  kali  ini. Siap berparang  bagai. Siapa  yang  tak  kecut  perut  melihatnya.
Haji  Mazlan  a.k.a  Cikgu  Mazlan, walaupun  dia  bukanlah  jenis  yang  memukul  anak, namun  suara  yang  meninggi  persis  tarzan  itu  sudah  cukup  membuat  anak-anaknya  menikus  takut. 
Melihat  anak-anak  sudah  mematung  di  hadapannya, Haji  Mazlan  mencapai  bola  yang  kebetulan  di  kaki  Zen  Fahreen. Dengan  selamba, dia  membelah  bola  tersebut. Dah  serupa  membelah  tembikai  pun  ada. Terkebil-kebil  mata  anak-anaknya  dengan  tingkah  lelaki  itu. Masing-masing  takut  untuk  bersuara  walaupun  mereka  tidak  berpuas  hati  bila  bola  kesayangan  mereka  itu  menjadi  ‘mangsa’  Haji  Mazlan. Aduhai... dah  kenapa  pulak  bola  tak  berdosa  itu  menjadi  korban?
“Lain  kali  bila  dah  nak  Maghrib, pergilah  balik  mandi. Lepas  tu  bersiap-siap  untuk  solat  dan  mengaji. Ini  tidak, main  tu  macam  esok  tak  boleh  nak  sambung  bermain.”
Bebel  Haji  Mazlan  lagi. Bola  yang  sudah  kemek  dibelah  dua  itu  dilemparkan  pula  di  hadapan  anak-anaknya  yang  berdiri  sebaris  itu. Pandai  pulak  tu  berdiri  sebaris. Macam  berpakat  pun  ada  budak-budak  ni.
“Alaaa... kenapa  abah  belah  bola  tu? Habis  esok  kitaorang  nak  main  macam  mana?”
Tiba-tiba  Den  Ferdaus  berani  bersuara. Anak  sulung  Haji  Mazlan  itu  tidak  berpuas  bila  bola  tersebut  dibelah  abahnya. Buat  penat  aje  dia  kumpul  duit  untuk  membeli  bola  tersebut. Abahnya  pulak  senang  aje  nak  merosakkan  bola  tu. Dah  tu  mana  dia  nak  cekau  duit  untuk  menganti  bola  tersebut? Nak  mintak  pada  abah? Memang  taklah! Sebab,  abah  bukan  jenis  yang  memanjakan  anak-anak  dengan  wang  ringgit. Kalau  nak  sesuatu, kena  usaha  sendiri!


“Aik? Kamu  nak  salahkan  abah  pulak, Den? Sebelum  ni  abah  dah  banyak  kali  pesan, balik  rumah  sebelum  Maghrib!Balik  mandi, lepas  tu  bersiap-siap  untuk  solat  dan  mengaji. Sepatutnya  kamu  yang  sulung, harus  tunjuk  teladan  yang  baik  pada  adik-adik  kamu. Dah  tahu  nak  Maghrib, ajaklah  dorang  ni  balik! Ini  tidak, kamu  sama  naik  je  dengan  adik-adik  kamu  tu.” 
“Tapi  abah  janganlah  rosakkan  bola  tu...”
“Dah, jangan  pulak  kamu  nak  menjawab. Jangan  nak  tayang  muka  tak  puas  hati  kamu  tu  pada  abah. Sudah! Sekarang  ni  baik  kamu  semua  pergi  naik  dan  mandi.”
Serius  Haji  Mazlan  bersuara, memotong  Den  Ferdaus  yang  bersuara  membalas. Geram  pulak  anaknya  bujangnya  itu  menjawab.
Den  Ferdaus  terus   terdiam  mendengar  suara  yang  separuh  meninggi  itu. Begitu  juga  dengan  adik-adiknya, semakin  kecut  perut  dengan  suara  kasar  itu. Lalu, mereka  segera  melangkah  untuk  naik  ke  rumah. Walaupun  masing-masing  masih  tidak  puas  hati dengan  nasib  bola  tersebut, namun  mereka  tetap  patuh  dengan  arahan  Haji  Mazlan. Melawan  lagi  kang, tak  pasal-pasal  ada  yang  hilang  kepala. 
Zen  Fahreen  yang  ingin  mengatur  langkah  sempat  mencapai  bola  yang  sudah  kemek  itu. Lalu  bola  tersebut  dihulurkan  pada  Den  Ferdaus  yang  berjalan  beriringan  dengannya. Dia  mengerti,  Den  Ferdaus  sayangkan  bola  tersebut.
“Abang  Den... Nanti  Abang  Den  gam  ajelah  bola  ni. Lagi  pun  rumah  kita  kan  ada  sellotape, boleh  sambung  bola  rosak  ni  dengan  sellotape. Esok  boleh  kita  main  bola  ni  lagi, Abang  Den.”
Polos  si  adik  bongsu  mencadangkan  pada  Den  Ferdaus. Tak  padan  dengan  usianya  enam  tahun, pandai  pulak  nak  bagi  cadangan  yang  entah  apa-apa  tu.
Zam  Fareez  dan  Ram  Fazreen, si  kembar  yang  berjalan  di  hadapan  tiba-tiba  tergelak  besar  sebaik  mendengar  cadangan  dari  si  adik  bongsu.
Den  Ferdaus  mendengus  geram. Sakit  pulak  hatinya  bila  mendengar  si  kembar  yang  bergelak  sakan. Namun, dia  hanya  mampu  menahan  sabarnya. Mujurlah  yang  mencadangkan  itu  adalah  si  adik  bongsu. Jika  Zam  Fareez  dan  Ram  Fazreen, memang  nak  kena  tibailah  jawabnya.
Haji  Mazlan  yang  masih  berdiri  di  situ  tiba-tiba  menguntum  senyum. Tercuit  hatinya  mendengar  idea  anak  bongsunya  itu. Aduhai, yang  bongsu  ni  boleh  tahan  jugak  nakalnya. Tak  padan  dengan  usianya  yang  masih  kecil  tu. Apa  sahaja  yang  abang-abangnya  buat, pasti  dia  mengikut  sama.
Saat  itu  Haji  Mazlan  hanya  mampu  menggeleng-gelengkan  perlahan  kepalanya  bila  memikirkan  perihal  si  bongsu  itu. Senyuman  masih  tersungging  di  bibirnya  seraya  matanya  setia  memerhati  langkah  anak-anaknya  yang  sudah  meniti  tangga  rumah. Aduhai, anak-anak  abah!
Zen  Fahreen  menguntum  senyum  yang  lebar  bila  terkenangkan  memori  zaman  kanak-kanaknya  itu. Memori  yang  begitu  indah  bila  dikenangkan  semula. Nak  tergelak  pun  ada  bila  dia  teringat  tentang  cadangannya  pada  Den  Ferdaus. Boleh  pulak  dia  suruh  abangnya  gam  atau  sambungkan  saja  bola  tersebut  dengan  sellotape.
“Amboi... bukan  main  lagi  lebar  senyum  dia. Apa  yang  difikirkan  tu  sampai  tersenyum  sorang-sorang, Zen?”
Suara  yang  lembut  menyapa  itu  mematikan  senyuman  Zen  Fahreen. Segera  dia  berpaling. Dan  bibirnya  kembali  mengukir  senyum  bila  melihat  seraut  wajah  tua  yang  sarat  dengan  kasih  itu.
“Hmm... Tak  ada  apa-apalah, mak. Entahlah, mak. Tiba-tiba  Zen  teringat  kisah  masa  kecik-kecik  dulu. Rindu  pulak  pada  zaman  nakal  dulu  tu, mak.”
Lembut  Zen  Fahreen  bersuara  membalas. Bibirnya  masih  menguntum  senyum  sambil  matanya  memandang  kasih  ke  wajah  tua  yang  banyak  berjasa  itu. Dia  pernah  berkongsi  nyawa  dengan  wanita  di  hadapannya  itu. Wanita  yang  mengandung  dan  melahirkan  serta  membesarkan  juga  mendidiknya  dengan  kasih  sayang.
Tenang  hati  dan  damai  jiwanya  tatkala  melihat  wajah  emaknya  yang  tersenyum  senang  itu. Lebih  tenang  dari  dia  menghayati  keindahan  alam  di  sekitar  rumah  orang  tuanya  sebentar  tadi.
“Alahai, nak... Mak  ni  kalau  mengingatkan  balik  zaman  nakal  kamu  tu,mahu  sendat  dada  mak  ni  dibuatnya. Nakal  kamu  tu  mengalahkan  nakal  abang-abang  kamu  yang  lain. Tapi, syukurlah... bila  dah  besar  panjang  macam  ni, anak  mak  ni  menjadi  ‘orang’. Berjaya  hidupnya  macam  anak-anak  mak  yang  lain.”
Zen  Fahreen  tersenyum  pahit. Tersentak  mendengar  bicara  emaknya. Aduhai,  bondaku. Agaknya  emaknya  mampu  tersenyum  ke  tidak  jika  tahu  yang  anak  bongsunya  itu  lebih  ‘nakal’  dari  Zen  Fahreen  di  zaman  kanak-kanak. Apa  agaknya  perasaan  emaknya  bila  mendapat  tahu  dia  mengangkut  anak  dara  orang  ke  tempat  tidur? Boleh  kena  pelangkung  agaknya. Silap  hari  bulan  boleh  lemah  jantung  orang  tua  tu  nanti.
“Eh, Zen...Dah  kenapa  pulak  senyap  ni. Hmm... jomlah  kita  ke  dapur, bersarapan. Mak  buatkan  nasi  goreng  kesukaan  kamu, Zen.”
Hajjah  Khadijah  kembali  bersuara. Namun  hatinya  hairan  bila  anak  bujangnya  itu  tiba-tiba  mendiamkan  diri. Pelik  pulak  dengan  reaksi  anaknya  yang  seperti  terkelu  untuk  bersuara  membalas  bicaranya.
Mendengar  bicara  tersebut, Zen  Fahreen  hanya  mengangguk  patuh.  Lalu  dia  mengikut  langkah  Hajjah  Khadijah  untuk  ke  ruang  dapur. Entah  kenapa  saat  itu  lidahnya  bagaikan  terkelu  untuk  bersuara. Rasa  bersalah  menyelubungi  hatinya  saat  itu. Saat  itu  juga  dadanya  terasa  sesak  bila  mendengar  kata-kata  emaknya  yang  berbaur  bangga  kepadanya. Oh, mak... anak  mak  ni  ‘nakal’  sebenarnya, mak!
“Abah  mana, mak? Zen  tak  nampak  dia  pun  pagi,ni?”
Soal  Zen  Fahreen  yang  sudah  duduk  di  meja  makan. Tangannya  menyambut  pula  pinggan  berisi  nasi  goreng  yang  dihulurkan  oleh  Hajjah  Khadijah  padanya. Bila  dah  duduk  bersarapan  ni, baru  dia  teringat  pada  abahnya.
“Ermm... abah  kamu  tu  ke  mana  lagi, Zen  kalau  tak  ke  kebun.”
Terang  Hajjah  Khadijah  seraya  menuangkan  pula  Teh  O  ke  cawan  anak  bujangnya  itu. Itulah  rutin  suaminya  selepas  bersara  sebagai  guru  besar. Begitu  juga  dengan  dirinya  yang  juga  seorang  guru  yang  sudah  bersara.
“La... kenapa  tak  kejutkan  Zen  tadi?Boleh  Zen  ikut  sekali. Tolong  abah  di  kebun  tu.” 
Hajjah  Khadijah  mencebikkan  bibirnya. Hatinya  tidak  tercuit  sedikit  pun  dengan  bicara  anaknya  yang  konon  prihatin  itu. Sempat  lagi  matanya  mengerling  pada  anak  bujangnya  yang  leka  bersarapan.
“Hmm... nak  kejutkan  kamu  solat  subuh  pun  payah. Apatah  lagi  nak  bangunkan  kamu  untuk  ke  kebun? Dah  besar  panjang  macam  ni  pun  masih lagi  liat  nak  bangun  subuh. Agaknya  di  KL  sana, entah  solat  ke  tidak  anak  mak  ni.”
Hajjah  Khadijah  tiba-tiba  membebel. Bukan  dia  tidak  tahu  yang  anak  bujangnya  ni  liat  bab  solat. Entah  apa  nak  jadi  dengan  si  Zen  ni. Dah  tua  bangka  macam  ni  pun  perlu  disuruh-suruh  untuk  bersolat. Bukankah  sedari  kecil  lagi  anak  itu  diasuh  menjaga  solatnya? Entah  di  mana  silapnya, sejak  melanjutkan  pelajaran  di  luar  negara  anaknya  itu  seperti  culas  dengan  perintah  Allah  yang  wajib  dikerjakan  itu. Lalai  dengan  tuntutan  duniawi  sehingga  perkara  wajib  itu  dipandang  remeh. 
Zen  Fahreen  tersentap  mendengar  pertanyaan  emaknya. Alahai, mak  ni! Dia  baru  aje  nak  berlagak  jadi   anak  mithali. Dah  kena  sedas. Macam  tau-tau  aje  yang  anaknya  ni  liat  bab  solat. Pendek  kata, solat  depan  mak  abah  aje.
“Ehemm... err...solat, mak. Zen  tak  lupa  solat, mak.”
Balas  Zen  Fahreen  sedikit  gugup. Spontan  pula  dia  mencapai  cawan  berisi  Teh  O  di  hadapannya, lalu  dihirup  perlahan. Cuba  menutup  rasa  gugupnya. Nanti  tak  pasal-pasal  emaknya  tahu  yang  dia  mengauta.
“Tapi  solat  sunat  Jumaat  ajelah, mak.”
Nakal  hatinya  berbisik.
“Jangan  iyakan  aje, Zen. Tapi  buatnya  tidak.Tak  guna  kita  hidup  ni  kalau  tak  jaga  solat  kita. Rezeki  dari  Allah  kita  nak. Tapi  perintah-Nya  kita  abaikan  pula. Sebagai  orang  tua, mak  nasihatkan  Zen... tiada  yang  penting  di  dalam  hidup  kita  melainkan  ketakwaan  kita  pada  Allah.”
Zen  Fahreen  hanya  mengangguk  perlahan. Tanda  fahamlah  konon  dengan  bicara  emaknya  itu. Baik  dia  diamkan  diri. Menjawab  kang, makin  panjang  pulak  tazkirah  emaknya  nanti.
“Hah, Zen… Mak  ada  benda  nak  tanya  Zen  ni.”
“Mak  nak  tanya  apa, mak?”
Soal  Zen  Fahreen  lalu  memandang  ke  wajah  tua   di  hadapannya  itu.
“Kamu  ni  bila  lagi  nak  menikah, Zen? Abang-abang  kamu  tu, semuanya  dah  berkeluarga. Cuma  anak  mak  ni  je  yang  tak  nampak  nak  ke  arah  itu. Tak  ada  calon  ke, Zen?”
Lembut  Hajjah  Khadijah  bertanya. Namun  wajahnya  mempamerkan  riak  yang  risau. Mahu  tak  risau, anak  bujangnya  ini  tidak  pernah  menyuarakan  padanya  untuk  mengakhiri  zaman  bujangnya  itu. Jangan  anaknya  itu  ‘songsang’  sudah! Orang  sekarang  ni  bukan  boleh  percaya. Kadang-kadang  badan  saja  tegap, muka  aje  kacak  tapi  ‘songsang’. Nauzubillah!
“Hesy, mak  ni…  macam  dah  tak  ada  benda  lain  nak  tanya. Bila  Zen  balik  aje, itulah  soalan  wajib  mak  bertanya. Zen  tak  ready  lagilah, mak.”
Jawab  Zen  Fahreen  malas. Bosan  pulak  dengan  topik  nikah  kahwin  ni.
“Ya  Tuhan! Umur  Zen  tu  dah  32  tahun. Tak  ready  apanya, Zen? Kalau  Zen  tak  ada  calon, mak  ada  calon  untuk  Zen. Anak  Haji  Daud  yang  mengajar  di  sekolah  menengah  kampung  kita  ni. Dia  tu  ustazah, Zen. Sesuai  sangatlah  dibuat  calon  isteri. Itu  pun  kalau  Zen  setuju.”
Zen  Fahreen  yang  sedang  menghirup  Teh  O  itu  hampir  tersedak  mendengar  calon  isteri  yang  bukan  calang-calang  kriterianya. Anak  pak  aji  mana  pulak  yang  mak  dia  petik  ni? Ustazah  pulak  tu! Mak  ni  biar  betul? Takkan  dia  nak  berkahwin  dengan  ustazah  kut? Cukuplah  ada  ‘ustazah’  sorang  kat  rumah  ni… yang  duduk  di  depan  dia  sekarang. Jenuhlah  dia  nak  menadah  telinga  mendengar  tazkirah  aje  nanti.
“Ermm… ustazah  tu  mak. Takkan  Zen  nak  kahwin  dengan  ustazah  kut, mak?
Ujar  Zen  Fahreen  perlahan. Nadanya  bersuara  seperti  tidak  bersetuju  dengan  calon  isteri  yang  dicadangkan.
“La, dah  kenapa  pulak? Eloklah  kalau  ustazah. Erm… tapi, kalau  Zen  tak  nak  ustazah, mak  boleh  cari  calon  lain  pulak.”
Cadang  Hajjah  Khadijah  lagi. Harapannya  moga  anak  bujangnya  itu  bersetuju.
“Errr…tak  apalah, mak. Pasal  calon  tu,  biarlah  Zen  sendiri  yang  carikan. Kalau  memang  tak  jumpa  jugak, baru  Zen  mintak  tolong  mak  carikan.”
Sopan  Zen  Fahreen  menolak. Anak  bujang  mak  ni  bukannya  tak  ada  calon. Perempuan  keliling  pinggang. Cuma  menikah  aje  tak  mahu!
“Hah, yalah. Kalau  ada  calon  tu, bawaklah  dia  jumpa  mak  abah. Nak  jugak  kenal  dengan  bakal  menantu  mak  tu. Bab  jodoh  ni  Zen, jangan  memilih  sangat. Jangan  terlalu  mahu  yang  sempurna  kalau  kita  sendiri  tak  sempurna  mana. Asalkan  dia  tahu  tanggungjawab  dia, sanggup  bersama  dengan  kita  masa  susah  dan  senang. Zen  kena  ingat, jodoh  yang  baik  tu  datangnya  dari  Allah. Rajinlah  berdoa  selepas  solat  tu. Mintak  pada  Dia  jodoh  yang  baik-baik. Tapi  jangan  tahu  nak  mintak  aje, kalau  sendiri  tak  berusaha  untuk  berubah  menjadi  baik.”
Hajjah  Khadijah  bertazkirah  lagi. Beria-ia  menasihatkan  Zen  Fahreen. Sengaja  dia  menyebut  ‘berdoa selepas  solat’  di  dalam  bicaranya  tadi. Harapannya.  agar  Zen  Fahreen mengerti  di  sebalik  maksud  tersirat  bicara  tersebut.
Solat  itu  tiang  agama, Zen! Tak  guna  kita  hidup  di dunia  ni  jika  kita  tidak  patuh  pada  suruhan  Allah. Jangan  reti  nak  solat  depan  mak  abah  aje, Zen!
“Insha  Allah, mak. Zen  akan  ingat  pesan  mak  tu.”
Balas  Zen  Fahreen  perlahan. Konon  ambil  peduli  dengan  bicara  tersebut. Saat  itu, dia  seperti  anak  mithali  saja  lagaknya. Walhal  hati  sudah  panas  bila  emaknya  tidak  sudah-sudah  menyindirnya  dalam  diam. Jika  tidak  mengenangkan  yang  mentazkirahnya  ketika  itu  adalah  emaknya  sendiri, sudah  lama  dia  bangun  dari  duduknya. Mana  tahan, asik  kena  ‘tembak’  aje!
“Alhamdulillah, baguslah  kalau  macam  tu. Hah, lagi  satu  mak  nak  pesan. Jangan  sesekali  mempermainkan  atau  merosakkan  anak  dara  orang. Kalau  dah  berkenan, bawak  dia  jumpa  emak. Tahulah  mak  nak  uruskannya. Zen  kena  ingat, jangan  bagi  harapan  pada  perempuan  kalau  Zen  tak  berniat  mahu  jadikannya  isteri. Don’t  you  hurt  the  hearts  of  woman, because  your  mom  is  woman  too. Ingat  Zen, mak  tak  pernah  ajar  anak-anak  mak  buat  benda  tak  baik  pada  orang  terutamanya  pada  perempuan. Sebelum  kita  nak  menyakiti  atau  buat  yang  tak  baik  pada  perempuan  itu,  Zen  kena  ingat  betapa  susahnya  si  ibu  mengandungkan  serta  melahirkan  dia  ke  dunia  yang  mana  bukan  untuk  disakiti  atau  dirosakkan. Mak  harap  Zen  menghormati  seorang  perempuan  itu  sebagaimana  Zen  menghormati  diri  mak.”
Semakin  ‘laju’  pulak  tazkirah  Hajjah  Khadijah  pagi  ni. Berjela-jela  bicaranya  menasihati  anak  bujangnya  itu. Siap  bertutur  dalam  bahasa  Inggeris  lagi. Maklumlah, bekas  guru  bahasa  Inggeris. Sudah  ‘tersampuk’  aura  subjek  bahasa  Inggeris  agaknya  Cikgu  Hajjah  Khadijah  ni!
Dan,  Zen  Fahreen  terkedu  bila  mendengar  butir  bicara  emaknya. Kena  sedas  lagi! Mak  ni, macam  tahu-tahu  aje  anaknya  suka  mempermainkan  perasaan  perempuan! Saat  itu, tiba-tiba  Zen  Fahreen  terkenang  akan  wajah  perempuan-perempuan  yang  pernah  diangkutnya  ke  rumah. Paling  terkesan  di  hatinya  adalah  wajah  milik  Marleen. Si  kekasih  hatinya! Kalau  perempuan  lain  tu  tak  apalah  jugak, sebab  memang  dah  sedia  rosak. Namun  berlainan  pula  dengan  Marleen. Dia  yang  merosakkan  gadis  tersebut.
“Mak  jangan  risau, kalau  Zen  dah  jumpa  calon  menantu  untuk  mak, nanti  Zen  kenalkan  dia  dengan  mak  ya.”
Balas  Zen  Fahreen  dengan  sopan. Dia  sudah  duduk  di  kerusi  sebelah  Hajjah  Khadijah. Spontan  tangannya  mencapai  tangan  kasar  wanita  yang  sarat  dengan  kasih  sayang  dan  banyak  berbudi  padanya  itu. Tangan  tua  itu  dikucup  lembut. Sebak  hatinya  tiba-tiba  bila mengenangkan  begitu  banyak  dosanya  pada  perempuan.
“Zen  sebenarnya  sudah  mengecewakan  mak  dan  abah. Zen  tak  patuh  segala  nasihat  dan  pesan  yang  mak  dan  abah  titipkan  selama  ni.  Ampunkan  Zen, mak!”
Hatinya  berbisik. Demi  Tuhan, saat  itu  hatinya  tiba-tiba  disapa  rasa  bersalah  dan  berdosa.
“Hmm… baguslah  kalau  macam  tu. Soal  nikah  kahwin  ni  jangan  sesekali  membelakangkan  orang  tua, Zen.
Kata  Hajjah  Khadijah  sambil  mengusap  lembut  kepala  anak  bujangnya  itu. Sejuk  hatinya  bila tangannya  dikucup  lembut  oleh  anak  bongsunya  itu. Tetap  manja  seperti  dulu  juga.
“Hesy, mak  ni. Takkanlah  hal  nikah  kahwin  Zen  nak  membelakangkan  mak  dan  abah  pulak? Insha  Allah, Zen  takkan  buat  macam  pada  mak  dan  abah.”
Janji  Zen  Fahreen  dengan  segaris  senyuman  manis  yang  tersungging  di  bibir  nipisnya  itu. Buat  seketika  wajah  tua  itu  dipandang  kasih. Lalu  dia  memeluk  lembut  bahu  wanita  yang  sentiasa  di  hatinya.
“Mak  cuma  nak  mengingatkan  aje, Zen. Ni  ha, mak  baru  teringat  nak  bertanya. Kamu  jadi  ke  nak  balik  hari  ni  jugak, Zen? Takkan  baru  semalam  sampai, hari  ni  dah  nak  balik?” 
“Jadi  mak. Lepas  Maghrib  karang  Zen  balik. Maaflah  mak, Zen  tak  boleh  nak  cuti  lama. I’ve  been  really  busy  lately.”
“Lain  kali   cutilah  lama  sikit. Sudahlah  jarang  balik. Bila dah  balik, sekejap  aje  kamu  di  kampung  ni.”
Ujar  Hajjah  Khadijah  separuh  membebel.
“Ala, mak… banyak  kerja  nak  kena  settle, mak. Insha  Allah, nanti  free  Zen  baliklah  lagi. Lagipun  bukan  jauh  pun  KL  ke  kampung  kita  ni, mak.
Balas  Zen  Fahreen  lembut  sambil  mengucup  lembut  pipi  Puan  Muna.
Hajjah  Khadijah  hanya  mampu  mengeleng  perlahan  bila  mendengar  alasan  anak  bujangnya  itu. Bosan  pun  iya  dengan  kesibukan  si  Zen  ni. Kalau  dah  sibuk  sangat,  bila  masa  pulak  nak  fikirkan  tentang  kahwin?
“Haih, payah  benar  dengan  orang  gila  kerja  ni.”
Keluh  Hajjah  Khadijah. Zen  Fahreen  yang  mendengar  hanya  mampu  tersenyum  kelat. Alahai, cikgu  bahasa  Inggeris  ni!

MINI  Cooper  Countryman  miliknya  dipandu  agak  laju  di  lebuhraya  yang  agak  sibuk  ketika  itu. Lagu  “Bailamos”  dendangan  Enrique  Iglesias  berkumandang  di  radio  kereta  yang  merupakan  antara  kereta  kesayangannya. Tenang  dia  memandu  untuk  kembali  ke  Kuala  Lumpur. 
Sesekali  dia  turut  mendendangkan  bait-bait  lagu  yang  rancak  berkumandang. Tiba-tiba  lagu  tersebut  mengingatkannya  pada  Marleen.  Lagu  inilah  menjadi  punca  perkenalannya  dengan  Marleen  empat  tahun  yang  lepas.
Mengimbas  kembali  ketika  di  pusat  hiburan  elit  di  Kuala  Lumpur, bermulanya  kisah  perkenalan  dia  dan  Marleen  di  situ. Mulanya  dia  ke  sana  hanya  memenuhi  undangan  seorang  kenalan  yang  meraikan  hari  jadi  di  pusat  hiburan  tersebut.
Zen  Fahreen  ingat  lagi, kali  pertama  dia  memandang  Marleen  hatinya  betul-betul  terusik  dengan  gadis  tersebut. Orang  lain  sibuk  berhibur  dengan  menari  di  ruang  yang  di  sewa  khas  itu, namun  Zen  Fahreen  tidak  sudah-sudah  melirik  pandangannya  pada  Marleen  yang  duduk  bersembang  dengan  seorang  tetamu. Hatinya  betul-betul  tidak  keruan  dengan  aura  yang  dimiliki  Marleen. Dia  tersampuk  apa  entah  sampai  hatinya  ingin  mendekati  dan  memikat  Marleen.              
Hatinya  semakin  menggila  bila  dia  tiba-tiba  mempelawa  Marleen  untuk  menari  bersamanya. Namun  siapa  menyangka, bagai  pucuk  dicita  ulam  mendatang… Marleen  sudi  pula  dengan  pelawaannya  itu.
Lalu, dengan  hatinya  yang  berkocak  hebat  dengan  lirikan  manja  Marleen, segera  dia  menarik  gadis  itu  ke  ruang  menari. Saat  itu  terasa  begitu  indah  sekali. Dia  dan  Marleen  begitu  rancak  menari  dengan  alunan  lagu  ‘Bailamos’  yang  mengiringi  tarian  mereka. Jika  boleh, dia  mahu  panjangkan  momen  menari  tersebut. Dalam  masa  yang  sama, Zen  Fahreen  tidak  mahu  melepaskan  peluang  yang  ada  untuk  dia  mendekati  dan  mengenali  Marleen.

Tonight  I'm  yours
We  can  make  it  happen  I'm  so sure
I  won’t  let  it  go
There  is  something I  think  you  should  know
I  won't  be  leaving  your  side
We're  gonna  dance  through  the  night
I'm  wanna  reach  for  the  stars

(Bailamos  by  Enrique  Iglesias)
  

Kini, sudah  empat  tahun  dia  mengenali  Marleen. Dia  berjaya  memiliki  Marleen  sebagai  kekasih  hatinya. Malah  dia  telah  memiliki  segalanya  diri  Marleen.
Bila  teringatkan  Marleen, terdetik  di  hati  Zen  Fahreen  ketika  itu. Ke  mana  perginya  Marleen? Leka  dengan  kesibukkan  diri  sehingga  dia  terlupa  akan  kekasih  hatinya  itu. Baru  dia  tersedar, sudah  lima  hari  dia  ‘kehilangan’  Marleen. Si  kekasih  hatinya  itu  masih  merajuk  lagikah? Kalau  tak  merajuk, namun  kenapa  Marleen  sepi  saja  tanpa  sebarang  panggilan  atau  pesanan  dari  si  jelita  itu. Tak  pernah  Marleen  begini!                                                                                                                   
Mengingati  Marleen,  Zen  Fahreen  terkenang  pula  akan  kata-kata  yang  diucapkan  oleh  Hajjah  Khadijah  siang  tadi.
“Zen  kena  ingat, jangan  bagi  harapan  pada  perempuan  kalau  Zen  tak  berniat  mahu  menjadikannya  isteri. Don’t  you  hurt  the  hearts  of  woman, because  your  mom  is  woman  too.”
“Sayangku, Marleen.”
Ucap  bibir  nipisnya  perlahan. Tiba-tiba  hatinya  disapa  rindu  pada  Marleen.
“Marleen  ni  merajuk  dengan  aku  ke?”
Ucapnya  lagi, bercakap  seorang  diri. Pada  sangkaannya  barangkali  benar  Marleen  merajuk. Merajuk  dengan  peristiwa  beberapa  malam  yang  lalu. Serentak  itu, Zen  Fahreen  terkenangkan  peristiwa  yang  mungkin  menguris  hati  kekasih  hatinya  itu.

                                                                                                 
Bersambung......

p/s: Thanks  for  reading, Love :)